>Makin lewat saman dibayar, lebih tinggi kompaun dikenakan terhadap pesalah lalu lintas!

PUTRAJAYA: Kabinet hari ini meluluskan penyelarasan kadar kompaun dan penyusunan semula kategori kesalahan lalu lintas yang dikeluarkan polis, Jabatan Pangangkutan Jalan (JPJ) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2010), berkuatkuasa 1 Mac ini.

Mengikut penyelarasan kadar kompun itu, kadar paling rendah ialah RM40 bagi kesalahan tidak serius membabitkan motosikal 250cc ke bawah manakala kadar tertinggi ialah RM300 bagi kesalahan serius untuk semua kenderaan lain.

 Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha, berkata kadar kompaun baru itu hanya dilaksana terhadap saman yang dikeluarkan mulai 1 Mac ini mengikut prinsip “lebih lambat membayar, lebih tinggi kadar kompaun”.  Beliau berkata, sistem kompaun baru itu turut menawarkan lebih banyak pengurangan kadar kompaun sekiranya pesalah lalu lintas melunaskan bayaran lebih cepat iaitu dalam tempoh 15 hari pertama, 15 hari kedua dan 30 hari berikutnya kecuali bagi kesalahan serius dalam kategori pertama.

Saman lalu lintas yang tidak dibayar selepas hari ke-60 ia dikeluarkan akan terus didaftarkan sebagai kes di mahkamah dan tidak ada kompaun dikenakan sebaliknya hukuman akan dijatuhkan oleh mahkamah mengikut akta berkenaan,” katanya pada sidang katanya pada sidang media selepas majlis sambutan Tahun Baru Cina peringkat kementeriannya, di sini hari ini.