>

KUALA LUMPUR: “Saya menyangkal kenyataan Nora bahawa Jejai dan saya berpisah sejak dua bulan lalu dan menghubungi saya sebagai seorang sahabat untuk bertanya khabar. Kenyataan Nora itu adalah salah.
“Saya meletakkan noktah hubungan kami pada 18 Januari lalu,” kata pelakon Fasha Sandha, 27, mengenai kenyataan Nora Danish, 29, yang juga bekas isteri Jejai atau Rizal Ashram Ramli, semalam.
Katanya, kenyataan Nora dalam akhbar ini semalam menguji kesabarannya untuk memberi kenyataan balas dengan mendedahkan apa sebenarnya yang berlaku antara dia dan Jejai. Ketika dihubungi, Fasha atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandh Hassan berkata, segala kenyataan yang dinyatakan Nora itu tidak benar sama sekali. Tegasnya, memang mereka sudah berpisah tetapi bukannya dua bulan lalu.
Katanya, ketika Jejai di Jepun dan Ninseko, Jejai menghubunginya lebih daripada 10 kali setiap hari dan menghantar SMS setiap waktu. “Selalunya, kami bercakap selama hampir sejam. Ini jelas, kenyataan Nora bahawa dua bulan kami berpisah dan Jejai menghubungi saya hanya untuk bertanyakan khabar adalah salah.
“Nora tidak perlu bercakap perkara yang tidak betul dan Nora juga tidak perlu masuk campur di atas kronologi hubungan saya dan bekas suaminya sekiranya benar dia bukan punca perpisahan kami. “Cukuplah Nora sekadar memberikan kenyataan dia lega kerana bekas suaminya itu cuba mempertahankan yang bukan dia punca perpisahan kami. Nora mengambil langkah tidak betul kerana memberikan kenyataan tanpa mendapat fakta yang benar. “Dengan ini, lagi sekali saya menegaskan kami berpisah pada 18 Januari. Biar saya dan Jejai saja yang tahu punca perpisahan kami. Saya harap Nora lebih berhati-hati dan mendapatkan fakta bukti yang kukuh serta tepat sebelum memberikan kenyataan pada media. Sekiranya dia di pihak benar, tidak perlu dia melatah dan meyakinkan pembaca dengan memberi informasi yang tidak benar,” katanya.
Tambah Fasha, kenyataannya dalam artikelnya sebelum ini dia memang berada di pihak yang benar.
“Sekiranya, keadaan memaksa saya tidak keberatan melampirkan bukti. Kenyataan Nora semalam memaksa saya untuk memberikan penjelasan berserta bukti yang kukuh. “Saya masih menyimpan semua SMS, BB Messenger dan semua senarai panggilan telefon. Ini saya jadikan bukti untuk menegakkan perkara yang benar. Malah ibu saya juga ada menyimpan SMS Jejai pada hari Jejai bertolak ke Jepun.

“Pengurus saya dan pembantu peribadi saya juga masih menyimpan semua SMS Jejai pada mereka. Saya harap ini jelas dan tiada lagi spekulasi selepas ini mengenai perpisahan saya dengan jejai. “Cukuplah pengakuan kami sudah berpisah pada 18 Januari lalu. Biar hanya kami berdua tahu puncanya. Saya tidak mahu mengaibkan mana-mana pihak. Ingin juga saya jelaskan di sini saya tidak akan melayan sebarang tuduhan atau fitnah tanpa bukti pada masa akan datang.

 “Sebelum ini diri saya sering difinah dan ditindas oleh sesetengah pihak tanpa bukti. Jadi kali ini adalah masa untuk saya menegakkan kebenaran diri saya fakta Nora adalah salah,” katanya.
sumber : myMetro dan ohBulan.Com