>Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@nstp.com.my
2010/06/02

“DOKTOR meramalkan saya boleh hidup kurang daripada tiga minggu jika tidak menjalani rawatan kerana kanser yang saya hadapi berada di tahap empat.

 BAHAGIA…Norliyana bersama suami, Azrin yang selama ini tidak pernah jemu memberikan sokongan kepadanya.
“Kos untuk menjalani rawatan kemoterapi pula bukan murah, mencecah RM300,000 dan jumlah itu sememangnya bebanan kerana keluarga bukan orang berada.

“Lebih menyedihkan, tidak lama selepas itu, saya turut dibuang kerja atas alasan yang tidak munasabah,” demikian luah bekas pesakit kanser, Norliyana Abu Bakar, 28.

Norliyana yang lebih mesra disapa dengan panggilan Liyana berkata, dua khabar duka yang diterimanya itu sedikit sebanyak meruntuhkan kekuatan dirinya.

Dia sama sekali tidak menyangka batuk berterusan yang sering dialami – salah satu petanda penyakit yang digeruni ramai itu sudah bersarang di dalam badannya.

Katanya, sebelum doktor mengesahkan mengenai penyakit berkenaan, dia mengalami batuk yang berterusan, tetapi tidak mengesyaki apa-apa kerana ketika itu (awal 2005) negara mengalami jerebu yang teruk.

“Saya mengalami batuk yang sekejap baik, sekejap batuk semula selama berbulan-bulan, tetapi menganggap ia hanya batuk biasa kerana beberapa klinik yang saya pergi mengatakan demikian.

“Apabila keadaan menjadi semakin teruk, barulah saya dirujuk ke hospital. Selepas menjalani pelbagai ujian termasuk proses mengambil sedikit di bahagian yang disyaki, akhirnya doktor mengesahkan batuk yang saya alami itu sebenarnya ialah petanda kepada sejenis penyakit barah, Defuse Large B-Cell Lymphoma di paru-paru,” katanya.

Menurut anak sulung daripada enam beradik ini, dia terpaksa berpindah ke sebuah hospital kerajaan pada awal 2006 dari sebuah hospital tempat kerja lamanya kerana tidak mampu membayar kos rawatan.

Ketika di hospital berkenaan, dia koma selama sembilan hari dan selama itulah keluarga terutama ibu, Hazizah Yon, 54, setia menemaninya.

Katanya, barah di dalam badannya terlalu agresif dan menyebabkan dia terpaksa menjalani rawatan kemoterapi lapan kali berbanding hanya enam untuk pesakit biasa.

“Saya terpaksa menjalani 25 kali rawatan radioterapi dalam tempoh sebulan lebih dan semua itu menyebabkan saya botak serta berat badan susut lebih 20 kilogram sehingga menampakkan tulang.

“Lebih menyedihkan, saya juga lumpuh dari paras pinggang hingga hujung kaki dan hanya mampu terbaring di katil saja selama hampir setahun.

“Alhamdulillah, dengan semangat yang tidak pernah mengaku kalah dan ihsan daripada Tuhan, saya akhirnya dapat kembali berjalan seperti biasa pada April 2007,” katanya.

Liyana berkata, sepanjang menerima rawatan di hospital, keluarga serta teman lelaki (kini suaminya), Azrin Shah Sabeh, 28, tidak jemu-jemu memberikan sokongan. Apa yang membuatkan dia berasa terharu ialah kesanggupannya datang melawat setiap hari selepas kerja.

“Saya akui pernah berputus asa kerana menganggap tidak akan mempunyai peluang untuk hidup lebih lama. Lantas, saya pernah meminta suami mencari pengganti kerana berasakan hayat tidak lama.

“Keluarga juga hampir putus asa kerana saya pernah koma dengan keadaan badan kurus kering. Memang sukar untuk menggambarkannya dengan kata-kata.

“Namun, takdir Tuhan tiada siapa yang tahu. Selepas hampir setahun menjalani rawatan, alhamdulillah kesihatan saya semakin baik.

“Apa yang berlaku itu satu keajaiban yang hingga kini saya tidak menemui jawapannya,” katanya yang masih perlu menjalani pemeriksaan setiap empat bulan sekali termasuk mengambil pelbagai vitamin tambahan sebagai langkah menguatkan ketahanan badannya.

Sementara itu, untuk membayar balik segala jasa Majlis Kanser Nasional (Makna) yang pernah membantunya, Liyana turut menyertai organisasi bukan kerajaan (NGO) berkenaan sebagai sukarelawan bagi membantu pesakit kanser di negara ini.

Dia sudah bangkit kembali daripada waktu sukar dalam hidupnya dan kini ingin memberi kembali apa yang pernah diperoleh secara sukarela bagi membantu lebih ramai insan yang memerlukan.

“Kini, sudah hampir tiga tahun saya menyertai Makna sebagai sukarelawan. Selain dapat menyertai pelbagai aktiviti yang diadakan, saya juga dapat berkongsi pengalaman bersama pesakit kanser mengenai penyakit berkenaan.

“Saya mahu masyarakat tahu pesakit kanser sebenarnya amat memerlukan sokongan daripada mereka tidak kira sama ada daripada segi moral mahupun berbentuk kewangan.

“Sebagai bekas pesakit, saya amat mengetahui kesusahan yang mereka alami dan harapan saya dengan pengalaman yang ada, sedikit sebanyak dapat membantu meringankan penderitaan mereka,” katanya yang baru-baru ini turut menerima anugerah penghargaan daripada Makna atas sumbangan cemerlangnya selama ini.

CEMERLANG…Liyana, bekas pesakit kanser yang kini aktif sebagai sukarelawan Makna. 

She is my exroomate masa part 2 di Kolej K2 masa study @ UiTM Shah Alam. We also take same course……banyak sangat2 kenagangan ngan Norli….yes….dulu dia glamer ngan nama Norli…he he he….Norli yang periang, Norli yang sangat ceria and Norli yang banyak mulut. Rasanyer sumer student OMT 114 dulu kenal dia..esp our batch….

SHE SOO STRONG and BRAVE
I’m PROUD of YOU, DEAR.